Sindiket judi dalam talian ditahan

Berita Pasti – Tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan disyaki ahli sindiket ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di beberapa lokasi di Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun dalam operasi yang dijalankan bermula 11 malam, 6 Julai lalu hingga 6 pagi keesokan harinya.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis menyerbu sebuah premis iaitu kondominium mewah yang dijadikan pusat khidmat panggilan berpusat (calling centre) untuk aktiviti perjudian dalam talian yang berpangkalan di negara ini.

“Sindiket yang beroperasi hampir tiga bulan ini mensasarkan pelanggan tempatan. Mereka menyewa di kondominium mewah dengan harga RM1,500 hingga RM2,000 sebulan itu kerana sistem keselamatan di kawasan tersebut agak ketat dan sukar untuk diketahui pihak berkuasa.

“Polis merampas 1 set meja komputer yang dilengkapi alatan komputer, sebuah unit pemprosesan komputer; sebuah monitor; sebuah papan kekunci; lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga keping kad akses rumah dan tiga kotak mengandungi pelbagai jenis kad sim,” katanya pada sidang media tadi.

Beliau berkata, bagi melicinkan aktiviti haram itu, satu laman sesawang telah direka khas.
“Pusat khidmat panggilan berpusat ini juga bertindak mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp yang dihantar secara rawak.

“Operator yang bekerja di pusat khidmat ini juga berperanan menguruskan setiap transaksi keluar masuk wang secara dalam talian.

“Setiap transaksi wang tersebut dibuat melalui akaun bank seperti Maybank, CIMB, Hong Leong dan RHB. Aktiviti perjudian pertaruhan yang dianjurkan adalah jenis Slot, Rolex, Black Jack, Live Game dan Poker.
“Jumlah minimum pertaruhan adalah RM10 dan tiada had maksimum,” katanya.
Jelasnya, anggaran kutipan pertaruhan mencecah RM1,000 hingga RM2,000 setiap hari.

Anbalagan berkata, mereka yang ditahan adalah operator yang bekerja 12 jam sehari mengikut syif (seorang operator setiap syif).

Dalam serbuan lain, tiga lelaki dan dua wanita Indonesia berusia 24 hingga 33 tahun ditahan kerana menjalankan aktiviti perjudian di sebuah kondominium di Relau Selasa lalu.

Anbalagan berkata, kesemua warga asing itu ditahan dalam operasi bermula jam 2 hingga 6 pagi, 9 Julai lalu.

“Mereka ini turut menjalankan kegiatan judi dalam talian, sama seperti 16 warga Indonesia yang ditahan bulan lalu. Modus operandi juga sama, iaitu mensasarkan warga Indonesia di negeri ini dengan mempromosikan menerusi apliskasi WeChat dan WhatsApp.

“Aktiviti perjudian yang berpangkalan di Indonesia ini dipercayai beroperasi sejak lima bulan lalu. Mereka ini menyewa di kondominium itu untuk dijadikan pusat khidmat panggilan berpusat.

“Antara yang dirampas, enam set komputer, lapan buah telefon bimbit dan lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.
Tambahnya, setiap transaksi wang tersebut dibuat melalui akaun bank Indonesia antaranya Bank Negara Indonesia, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Central Asia.

“Jumlah minimum pertaruhan bermula 10,000 Rupiah dan tiada had maksimum. Hasil risikan, anggaran keuntungan boleh mencecah RM3,000 hingga RM5,000 sehari. Antara aktiviti perjudian yang dianjurkan adalah jenis poker, domino, capsa, omaha dan super 10 dan sebagainya.

“Siasatan bagi kedua-dua serbuan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953 manakala warga asing yang ditahan juga disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1960,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

%d blogger menyukai ini: